Kejayaan Tabung Baitulmal Sarawak Meraih Anugerah Inovasi Pengurusan Kewangan 2010 (AIPK) Peringkat Kebangsaan

Tempat :  Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC)

Tarikh : 28 Julai 2011/26 Syaaban 1432H (Khamis)

PUTRAJAYA, 28 Julai - Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) telah berjaya meraih Anugerah Inovasi Pengurusan Kewangan 2010 di Majlis Anugerah Inovasi Sektor Awam (AISA) yang berlangsung di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Majlis tersebut memberi pengiktirafan kepada agensi-agensi yang mencapai kecemerlangan pengurusan organisasi khususnya dalam pembudayaan Inovasi, tahap penambahbaikan, impak kepada agensi dan stakeholders serta keaslian idea. Kecemerlangan  Tabung Baitulmal Sarawak melalui Sistem Aplikasi Pengurusan dan Pemantauan Zakat bertujuan membantu dalam melancarkan urusan kutipan zakat serta memantau produktiviti dan kecekapan pekerjanya. Melalui penglibatan dan komitmen stakeholders dan Pengurusan atasan dalam membudayakan inovasi, sistem ini telah dibangunkan sendiri oleh warga kerja Tabung Baitulmal Sarawak di mana ia telah memberi impak kepada peningkatan hasil dan mengurangkan ketirisan kutipan. Ia juga secara langsung dapat membantu mencapai Strategi Peningkatan Dana (Sustainable Fund Strategy, Sustainable Growth Cycle, Wealth Creation Initiatives dan Internally Generated Fund) sebagai hala tuju jangka panjang Tabung Baitulmal Sarawak.

Akreditasi dan pengiktirafan pada peringkat kebangsaan ini diharap dapat meningkatkan lagi keyakinan masyarakat dan membentuk imej positif di kalangan orang awam dalam pengurusan Institusi zakat.

Acara kemuncak majlis adalah dengan penyerahan trofi, sijil dan cek berjumlah RM300,000 oleh Ketua Setiausaha Negara YBhg Tan Sri Mohd Sidek Hassan kepada Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak Tuan Haji Abang Mohd Shibli bin Haji Abang Mohd Nailie.

Menurut Abang Mohd Shibli ketika dihubungi, kejayaan ini sebenarnya merupakan berkat sokongan padu masyarakat dan kerajaan Negeri Sarawak terhadap Tabung Baitulmal Sarawak selama ini. Tidak ketinggalan juga , komitmen serta budaya berprestasi tinggi warga kerja TBS yang menjalankan amanah dengan penuh berinovasi merupakan antara faktor penyumbang kepada pencapaian ini.