Majlis Perasmiam Bulan Zakat Kebangsaan 2013

 

KUCHING, 21 DISEMBER – Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) hari ini mengadakan Sambutan Bulan Zakat Kebangsaan 2013 Peringkat Negeri Sarawak di Majma’ Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah bermula 21 sehingga 22 Disember dengan kerjasama Majlis Amanah Rakyat (MARA), Biro Wanita, Yayasan Sarawak, Pejabat Daerah Kuching, Jabatan Kehakiman Syariah, PTPTN, YAKIN, Dewan Bandaraya Kuching Utara, HIKMAH dan sebagainya.

Majlis yang telah dirasmikan oleh YBhg. Datu Haji Putit Matzen, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak ini merupakan program tahunan peringkat kebangsaan anjuran Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) dengan kerjasama Majlis Islam Negeri-Negeri, Agensi Pengurusan Zakat dan agensi-agensi kerajaan yang lain.

Pada peringkat kebangsaan, Program Sambutan Bulan Zakat Kebangsaan 2013 ini telah dirasmikan oleh YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom (B), Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 10 Disember 2013M bersamaan 07 Safar 1435H yang lalu di Kuala Lumpur.

Antara objektif utama penganjuran program ini adalah untuk mempromosi dan menyebarluaskan informasi berkaitan amalan Ibadah zakat dan pengurusannya oleh Tabung Baitulmal Sarawak (Majlis Islam Sarawak), menyedarkan umat Islam bahawa Dana Zakat yang diuruskan oleh institusi ini adalah sebagai pelengkap kepada program-program pembangunan sosio-ekonomi negara yang dilaksanakan oleh Kerajaan, meningkatkan kefahaman dan keyakinan masyarakat mengenai kewajipan dan kepentingan sistem pengurusan dan perundangan zakat, memberi pendedahan mengenai produk-produk bantuan yang sedia ada serta mengukuhkan lagi jalinan kerjasama antara Tabung Baitulmal Sarawak (Majlis Islam Sarawak) dengan jabatan-jabatan, agensi-agensi, NGO-NGOs dan juga masyarakat dalam usaha memartabatkan syiar Islam melalui amalan berzakat di negeri Sarawak khasnya dan Malaysia amnya.

Antara kejayaan TBS yang perlu dikongsikan bersama masyarakat Islam agar mereka lebih yakin terhadap TBS terutamanya dalam pengurusan kewangan termasuklah di mana Tabung Baitulmal Sarawak telah dinobatkan sebagai juara bagi kategori Anugerah Inovasi Pengurusan Kewangan (AIPK) di Majlis Anugerah Inovasi Sektor Awam 2010. Selain itu, TBS juga telah menerima Sijil Bersih Pengauditan Penyata Kewangan daripada Jabatan Audit Negara  bagi 13 tahun berturut-turut.

Berhubung dengan sumbangan kewangan daripada masyarakat Islam, sama ada dalam pembayaran Zakat, Sedekah (Sumbangan Wajib) dan Wakaf, TBS menguruskannya dengan mengikut peraturan dan  piawaian yang telah ditetapkan. Semua kutipan tersebut mempunyai resit rasmi penerimaannya dan direkodkan bagi tujuan penyediaan Penyata Kewangan dan proses Pengauditan oleh Jabatan Audit Negara. Semua maklumat yang berkaitan dengan kutipan dan juga penggunaan hasil kutipan dinyatakan dalam Penyata Kewangan yang diaudit secara tahunan oleh Jabatan Audit Negara(JAN).

Manakala berhubung dengan proses pengagihan Dana Zakat, ia dikawal selia dengan Garis Panduan Agihan (GP Agihan) yang telah mendapat persetujuan daripada Pejabat Mufti Negeri Sarawak dan diluluskan dalam mesyuarat Majlis Islam Sarawak. Tambahan pula, TBS telah mendapat Pensijilan ISO dalam urusan yang berkaitan dengan pengagihan Dana Zakat, iaitu: Pensijilan  ISO 9001 : 2000 pada 24 Oktober 2005 dengan skop Sistem Pengurusan Kualiti (SPK) iaitu Pengurusan Agihan Wang Zakat (Bantuan IPT). Di samping itu, Tabung Baitulmal Sarawak juga telah mendapat  Pensijilan  MS 9000 : 2005 (Perspektif Islam)  dengan skop Sistem Pengurusan Kualiti (SPK) iaitu Pengurusan Agihan Wang Zakat (Bantuan IPT) dan Pengurusan Kutipan Zakat Pendapatan Melalui Potongan Gaji  pada tahun 2010 dengan tujuan untuk memantapkan lagi dan memantau proses pengagihan bantuan. 

Pada akhir ucapannya, Datu Haji Putit Matzen menyeru dan amat berharap agar umat Islam dapat memberikan sokongan padu, tanpa berbelah bahagi bagi menjayakan semua program yang telah disusun dan diatur oleh pihak Tabung Baitulmal Sarawak sebagai penganjur  bagi menjayakan sambutan Bulan Zakat Kebangsaan peringkat negeri Sarawak ini.

Antara lain pengisian yang turut diadakan termasuklah Konvoi Kembara Zakat, Pameran Agensi-Agensi Direktori Bantuan, Workshop Wanita, Workshop Pelajar Sekolah, Workshop Belia dan lain-lain lagi.

Majlis turut dihadiri oleh YBhg. Tuan Haji Ismail Bin Hanis, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak merangkap Setiausaha Majlis Islam Sarawak, YBhg. Datu Haji Abg Mohd Shibli Bin Haji Abg Mohd Nailie, Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak, Ketua-Ketua Jabatan, Agensi-Agensi Kerajaan, NGO-NGOs, Wakil Media serta para jemputan.