Majlis Penyerahan Bantuan Aidilfitri Fakir Miskin dan Sumbangan Masjid dan Surau Bahagian Kuching

KUCHING, 30 Julai - Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) telah menganjurkan Majlis Penyerahan Bantuan Aidilfitri Fakir Miskin serta Sumbangan Masjid dan Surau Bahagian Kuching bagi tahun 2013 bersamaan 1434 Hijriah bertempat di Dewan Kompleks Islam Sarawak hari ini.

Majlis penyerahan tersebut telah disempurnakan oleh YB Datuk Ir. Haji Daud Bin Abdul Rahman, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama Islam) dan Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur Sarawak sekaligus merangkap Pengerusi Lembaga Baitulmal dan Wakaf.

Dalam majlis tersebut, sejumlah RM351,800.00 telah diserahkan melalui amil-amil yang ditauliahkan oleh TBS untuk diagihkan kepada 3,518 orang fakir miskin yang telah dikenalpasti bagi tujuan mencukupkan perbelanjaan pada hari pertama Hari Raya Aidilfitri khususnya dalam menyediakan keperluan asas makanan dan minuman agar mereka tidak terkecuali dalam menyambut lebaran yang bakal tiba.

Selain itu, di dalam majlis yang sama, sejumlah RM302,000.00 telah dihulurkan kepada 302 buah masjid dan surau bertujuan membiayai aktiviti-aktiviti yang dianjurkan di sepanjang bulan Ramadhan Al-Mubarak di samping memberi galakan kepada masyarakat Islam dalam usaha pengimarahan masjid dan surau.

Selain daripada bantuan–bantuan di atas, TBS turut mempunyai pelbagai jenis bantuan lain di bawah tiga (3) program utamanya iaitu Program Mengukuhkan Tradisi Keilmuan (PMTK), Program Memantapkan Kebajikan Ummah (PMKU) dan Program Membangunkan Institusi Islam (PMII). Bagi tahun 2012, TBS telah mengagihkan sejumlah RM36.7 juta kepada penerima yang layak melalui ketiga-tiga program utama ini. Manakala, untuk tahun ini, sehingga bulan Jun 2013, TBS telah mengagihkan sejumlah RM14.7 juta untuk tujuan yang sama.

Turut hadir dalam majlis tersebut YBhg. Datu Haji Putit Bin Matzen, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, YBhg. Datu Haji Abang Mohd Shibli Bin Haji Abang Mohd Nailie, Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak, YB. Dr. Abdul Rahman Bin Junaidi, ADUN N.4 Pantai Damai, YB. Hajjah Puan Sharifah Hasidah Binti Sayeed Aman Ghazali, ADUN N.7 Samariang dan YB Dr. Hazland Bin Abang Hipni, ADUN N.5 Demak Laut, Ketua-Ketua Kaum dan juga Para Amilin bahagian Kuching.