Majlis Penyerahan Bantuan Aidilfitri Fakir Miskin dan Sumbangan Masjid dan Surau Bahagian Lawas

LAWAS, 27 Julai - Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) telah menganjurkan Majlis Penyerahan Bantuan Aidilfitri Fakir Miskin serta Sumbangan Masjid dan Surau Bahagian Lawas bagi tahun 2013 bersamaan 1434 Hijriah bertempat di Masjid Darul Makmur, Lawas, di sini hari ini.

Majlis penyerahan tersebut telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II juga merangkap Menteri Kemudahan Awam dan Menteri Pembangunan Perindustrian.

Dalam majlis tersebut, sejumlah RM28,400.00 telah diserahkan melalui amil-amil yang ditauliahkan oleh TBS untuk diagihkan kepada 284 orang fakir miskin yang telah dikenalpasti bagi tujuan mencukupkan perbelanjaan pada hari pertama Hari Raya Aidilfitri khususnya dalam menyediakan keperluan asas makanan dan minuman agar mereka tidak terkecuali dalam menyambut lebaran yang bakal tiba.

Selain itu, di dalam majlis yang sama, sejumlah RM66,000.00 telah dihulurkan kepada 66 buah masjid dan surau bertujuan membiayai aktiviti-aktiviti yang dianjurkan di sepanjang bulan Ramadhan Al-Mubarak di samping memberi galakan kepada masyarakat Islam dalam usaha pengimarahan masjid dan surau.

Selain daripada bantuan–bantuan di atas, TBS turut mempunyai pelbagai jenis bantuan lain di bawah tiga (3) program utamanya iaitu Program Mengukuhkan Tradisi Keilmuan (PMTK), Program Memantapkan Kebajikan Ummah (PMKU) dan Program Membangunkan Institusi Islam (PMII). Bagi tahun 2012, TBS telah mengagihkan sejumlah RM36.7 juta kepada penerima yang layak melalui ketiga-tiga program utama ini. Manakala, untuk tahun ini, sehingga bulan Jun 2013, TBS telah mengagihkan sejumlah RM14.7 juta untuk tujuan yang sama.

Turut hadir dalam majlis tersebut YB. Dato’ Henry Sum Agong, Ahli Parlimen P222 Lawas, Encik Junidi Bin Lamat, Ketua Zon Utara Tabung Baitulmal Sarawak, Tuan Haji Mohamad Supaih bin Hj Hamdan, Pengerusi Majlis Daerah Lawas, Temenggong Sabli Bin Hamid, Ketua-Ketua Kaum dan juga Para Amilin bahagian Lawas.