MAJLIS PENYERAHAN AGIHAN BANTUAN KEPADA ASNAF BERTEMPAT DI UMMAH DISTRIBUTION CENTRE

KUCHING, 18 MAC – Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) melalui Cawangan Petra Jaya telah menganjurkan Majlis Penyerahan Agihan Bantuan kepada Asnaf dan penerima bantuan TBS bertempat di Ummah Distribution Centre (UDC), Kuching.
Majlis penyerahan tersebut telah disempurnakan oleh YBhg. Datu Haji Abang Mohammad Shibli bin Hj. Abg. Mohd. Nailie, Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak.
Dalam majlis tersebut, sejumlah RM23,586.00 telah diagihkan kepada 11 penerima yang terdiri daripada dua (2) Program Utama TBS iaitu Program Mengukuhkan Tradisi Keilmuan dan Program Memantapkan Kebajikan Ummah. Program-program bantuan TBS dilaksanakan sepanjang tahun dan terbuka kepada mereka yang layak serta memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan sejajar dengan Garis Panduan Agihan yang telah diluluskan oleh Jabatan Mufti Negeri Sarawak bagi memastikan seseorang pemohon itu berhak mendapat bantuan mereka.
Ummah Distribution Centre (UDC) adalah manifestasi ekosistem Baitulmal dan merupakan sistem penyampaian bersepadu yang merangkumi kutipan, agihan dan pentadbiran yang telah mula beroperasi pada 15 Disember 2020. Prasarana ini dibangunkan bertujuan untuk membawa bersama masyarakat bagi membantu mereka yang memerlukan melalui pengemblengan pelbagai platform termasuk crowdfunding, e-wallet dan mengoptima fasiliti Wakaf. Aplikasi digital secara kad pintar di UDC memudahkan sistem pembayaran bagi orang awam yang hendak membuat pelbagai sumbangan dan juga kredit untuk menyalur peruntukan agihan atau bantuan kepada Asnaf yang layak.
TBS amat prihatin dalam memastikan golongan yang berhak dibantu bagi melepaskan diri mereka daripada kesempitan hidup. Selain itu, sejajar dengan tema TBS “Baitulmal Tanggungjawab Kita Bersama”, TBS sentiasa mengharapkan agar masyarakat Islam menyokong peranan TBS dengan menunaikan kefardhuan berzakat, di samping bermatlamat memberi kesejahteraan kepada masyarakat Islam di Sarawak.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Encik Bolhassan Iskandar Taibi, Timbalan Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak.