MAJLIS PENYERAHAN AGIHAN BANTUAN KEPADA ASNAF BERTEMPAT DI UMMAH DISTRIBUTION CENTRE

KUCHING, 25 MAC – Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) melalui Cawangan Petra Jaya telah menganjurkan Majlis Penyerahan Agihan Bantuan kepada Asnaf dan penerima bantuan TBS bertempat di Ummah Distribution Centre (UDC), Jalan Bako, Petra Jaya, Kuching.
Ummah Distribution Centre (UDC) adalah sebuah platform sebagai manifestasi ekosistem pengagihan bantuan Baitulmal yang dapat dilihat oleh masyarakat luar terutamanya yang berkaitan kesihatan, pendidikan, ekonomi dan makanan. Masyarakat boleh turut menyumbang dengan menyalurkan sedekah melalui Kiosk Pembayaran di UDC.
Setakat 15 Mac 2021, sebanyak RM12.12 juta hasil kutipan zakat telah diagihkan kepada Asnaf yang berhak oleh Tabung Baitulmal Sarawak melalui tiga program utamanya iaitu Program Mengukuhkan Tradisi Keilmuan, Program Membangunkan Institusi Islam dan Program Memantapkan Kebajikan Ummah.
Bagi tujuan majlis hari ini, sejumlah RM21,195.00 telah di agihkan kepada 13 penerima Asnaf yang terdiri daripada dua (2) Program Utama TBS iaitu Program Mengukuhkan Tradisi Keilmuan dan Program Memantapkan Kebajikan Ummah.
Tabung Baitulmal Sarawak juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadhan. Sepanjang bulan Ramadan nanti, Tabung Baitulmal Sarawak akan terus menganjurkan program-program pengagihan kepada para Asnaf.
Pengurusan Tabung Baitulmal Sarawak juga mengharapkan agar masyarakat luar boleh turut menyokong peranan TBS dalam menunaikan kefardhuan berzakat. Masyarakat boleh turut membayar zakat, sedekah dan wakaf ke semua kaunter Tabung Baitulmal Sarawak yang berdekatan di seluruh Sarawak dan Kiosk Pembayaran UDC. Bagi mereka yang ingin mendapat maklumat lebih lanjut berkenaan dengan Tabung Baitulmal Sarawak, masyarakat diseru untuk melawat Galeri Ummah Distribution Centre, Medan Hamidah.