MAJLIS PREBIU UMMAH DISTRIBUTION CENTRE (UDC)

KUCHING, 15 DISEMBER – Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) telah mengadakan majlis prebiu Ummah Distribution Centre (UDC) bertempat di Medan Hamidah, Kuching pada hari ini oleh Yang Berbahagia Datu Hj. Abg. Mohd. Shibli Bin Hj. Abg.Mohd.Nailie, Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak.
UDC sebagai manifestasi ekosistem Baitulmal merupakan sistem penyampaian bersepadu yang merangkumi Kutipan, Agihan dan Pentadbiran. Prasarana ini dibangunkan bertujuan untuk membawa masyarakat bersama-sama membantu mereka yang memerlukan melalui pengemblengan pelbagai platform termasuk :crowd funding', e-wallet dan mengoptima fasiliti Wakaf.
Aplikasi digital secara Kad Pintar di UDC memudahkan sistem pembayaran bagi orang awam yang hendak membuat pelbagai sumbangan dan juga kredit untuk menyalur peruntukan agihan atau bantuan kepada yang layak.
Turut diperkenalkan adalah aplikasi Jejak Asnaf Versi 3 (JAV3) untuk menjadi enabler bagi UDC yang mana orang awam boleh menggunakannya untuk membuat aduan dan penyiasatan. Seterusnya, bantuan TBS akan disalurkan berdasarkan kriteria kelayakan yang telah ditetapkan dalam aplikasi Jejak Asnaf Versi 3 tersebut.
Bagi melengkapi operasi UDC ini, Pejabat Perhubungan Kuching, Jalan Haji Taha akan dipindah ke Medan Hamidah, Jalan Bako untuk urusan permohonan Bantuan dan Kutipan. Pejabat ini akan mula beroperasi pada 4 Januari 2021 (Isnin) dan ditukar nama sebagai Cawangan TBS Petra Jaya.
Bagi tahun 2020 (setakat 30 November 2020), sebanyak RM50.4 juta hasil kutipan Zakat telah diagihkan kepada yang berhak oleh pihak TBS melalui Tiga Program Utama iaitu Program Mengukuhkan Tradisi Keilmuan, Program Membangunkan Institusi Islam dan Program Memantapkan Kebajikan Ummah. Selain itu, TBS juga telah menyalurkan Bantuan Khas Covid-19 sebanyak RM8.5 juta kepada 54,403 penerima yang terjejas dengan PKP yang merangkumi Bantuan Kewangan, Bantuan Pek makanan dan minuman, Bantuan Pek Pusat Kuarantin dan Bantuan Kesihatan/PPE di seluruh Sarawak.
Antara yang hadir dalam majlis tersebut Encik Bolhassan Iskandar Taibi, Timbalan Pengurus Besar TBS, Tuan Haji Sulaiman Bin Hj. Mahili, Ketua Sektor Kewangan dan Pentadbiran, Tuan Haji Abang Faisal Bin Hj. Abg Marzuki, Ketua Sektor Komunikasi dan Aset serta wargakerja TBS.