Operasi Menyantuni Mangsa Kebakaran Kpg.Datu,Sibu

OPERASI TBS MENYANTUNI MANGSA KEBAKARAN KPG.DATU, SIBU Seawal kejadian kebakaran yang melibatkan Kpg. Datu, Sibu pada 19hb. Jun 2013, warga TBS Zon Tengah(Sibu,Sarikei dan Mukah) telah berusaha membantu dan mengenalpasti keperluan mangsa kebakaran bagi memudahkan urusan pengagihan sumbangan kepada mereka yang berkenaan. Pada 20hb.Jun, di atas keprihatinan dan tanggungjawab, YBhg. Datu Haji Abang Mohammad Shibli Bin Haji Abang Mohd.Nailie,Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak(TBS) sendiri merupakan di kalangan orang yang pertama ke Sibu untuk mendapatkan gambaran awal tentang keperluan mereka. Semasa kunjungan tersebut, belaiu telah menyempurnakan penyerahan Bantuan Kecemasan TBS, nataranya ialah 100 kotak pelbagai makanan asas dan 100 kotak air mineral bagi meringankan bebanan mereka. Sementara itu, TBS Cawangan Samarahan telah membuat gerakan bantuan peringkat ke-2 dengan membawa sumbangan keperluan yang lain seperti pakaian, telekung, sejadah dan naskhah al-Quran yang telah diserahkan secara peribadi kepada sebahagian mangsa yang ditempatkan di LAKIS, tempat kediaman sementara mangsa kebakaran. Semasa kunjungan tersebut , mangsa kebakaran sempat berkongsi cerita dan pengalaman sebelum dan semasa kebakaran. Pada hari yang sama upacara simbolik penyerahan sumbangan TBS dan 131 buah kota pakaian daripada warga Kuching dan Samarahan telah disampaikan oleh wakil TBS kepada Penghulu Kpg.Datu yang mewakili mangsa kebakaran yang turut disaksikan oleh YB. Dr. Annuar Rapaee, ADUN Nangka. TBS telah menubuhkan Pusat Operasi Gerakan Bantuan yang telah mengkordinasi pelbagai bentuk sumbangan orang ramai seperti pakaian, makanan dan juga wang tunai atau cek. Penyerahan sumbangan pakaian daripada masyarakat yang prihatin amatlah berjaya di Kuching, di mana pihak TBS telah menghantar 2 buah lori penuh dengan muatan tersebut ke Sibu bagi tujuan tersebut. Dan terkini, peluang untuk masyarakat yang masih hendak menyumbangkan bantuan kewangan boleh berbuat demikian di seluruh Pejabat Cawangan TBS dan juga Tabung Derma yang terdapat di Kompleks Islam Sarawak(KIS),Kuching. Insya-Allah,kerjasama, jasa baik dan sumbangan dari segenap lapisan masyarakat akan meringankan kesusahan dan bebanan yang terpaksa mereka tanggung akibat musibah tempoh hari. Bagi mereka yang telah menghulurkan sumbangan dan pengorbanan dalam pelbagai aspek demi menjaga kemaslahatan dan kebajikan mereka haruslah diberi pujian dan kita sama-sama mengharapkan semoga Allah SWT menganugerahkan balasan kebaikan yang berlipat ganda. Sehubungan itu, Pengurusan TBS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih yang sebanyak-banyaknya kepada semua penyumbang bantuan mangsa kebakaran (Kpg.Datu,Sibu) yang telah menyerahkan sumbangan mereka kepada Pejabat TBS di seluruh Sarawak untuk disampaikan kepada mereka yang ditimpa musibah tempoh hari.

 

antara sumbangan daripada masyarakat yang menyerahkan sumbangan mereka kepada wakil TBS.