PROGRAM ASNAF HEALTH RIDE 2019, SIBU

TABUNG Baitulmal Sarawak (TBS) telah mengadakan Asnaf Health Ride 2019 bertempat di perkarangan Komplek Islam Sarawak, Sibu yang dihadiri lebih daripada 800 orang pengunjung yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

Aktiviti-aktiviti yang dijalankan semasa program tersebut adalah aktiviti berbasikal sepanjang 16 kilometer, aktiviti bersama Asnaf, Pameran Kereta Dan Motosikal Klasik, Saringan Kesihatan dan Pertunjukan Simulasi Dron.

Menyentuh tentang objektif penganjuran Asnaf Health Ride 2019, Datu Haji Abang Mohd Shibli Haji Abang Mohd Nailie, Pengurus Besar TBS menjelaskan bahawa seseorang itu hendaklah sentiasa berusaha untuk menyumbang balik dari segi mental, fizikal mahupun wang bagi memberi bantuan dan meringankan beban orang lain.

Lantaran itu pihak TBS telah menjemput 30 orang Asnaf di sekitar Sibu dan 70 orang penerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk menyertai aktiviti Baitulmal Bersama Asnaf (BBA) semasa program tersebut.

Abang Mohd Shibli menambah, para peserta 
Program Asnaf Health Ride 2019 juga telah dibawa untuk menyantuni beberapa buah rumah Asnaf semasa aktiviti berbasikal tersebut berlangsung.

Selain itu, para peserta juga didedahkan tentang kewujudan aplikasi Jejak Asnaf Versi 2 yang berfungsi membolehkan masyarakat prihatin membantu TBS mengesan Asnaf yang berpotensi untuk dibantu khususnya dalam kalangan masyarakat Islam setempat.

Aktiviti ini juga bertujuan untuk menyerlahkan lagi perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat majmuk yang ada di negeri Sarawak.

Penduduk negara kita dari berbilang bangsa dan keturunan saling memahami tanggungjawab hidup bermasyarakat dan menghormati kebebasan beragama masing-masing, katanya semasa upacara pelancaran Asnaf Health Ride 2019 hari ini.

Antara yang hadir dalam majlis tersebut Bolhassan Iskandar Taibi, Timbalan 
Pengurus Besar TBS, Haji Sulaiman Haji Mahili, Ketua Sektor Kewangan dan Pentadbiran, Haji Abang Faisal Haji Abang Marzuki, Ketua Sektor Pembangunan dan wargakerja TBS.