BAITULMAL ADAKAN PROGRAM ZIARAH BERSAMA AGENSI ISLAM DAN PENDUDUK ISLAM STUTONG, SRI AMAN

10 Mac 2011 – Sebuah program ziarah telah dianjurkan bersama antara pihak Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) Pejabat Cawangan Sri Aman, Pejabat Agama Islam Bahagian (PAIB) Sri Aman, HIKMAH Cawangan Sri Aman dan Urusetia Saudara Kita (USK) Cawangan Klassen Sri Aman bagi mempertaut ikatan persaudaraan sesama Muslim di kawasan kediaman penduduk Islam, Kampung Stutong Sri Aman.

 

Program yang melakar kenangan tersendiri ini menurut ucapan Pengerusi USK Klassen, Tuan Haji Nuli bin Abdullah telah memberi suntikan baru bagi pihaknya untuk memantapkan kegiatan ilmu dan kerohanian kepada komuniti Islam kawasan Klassen termasuk Batu Lintang dan Stutong. Pada masa yang sama beliau mengambil kesempatan mohon agar pihak institusi Islam menghulurkan bantuan dalam usaha memelihara dan memulihara Dewan Serbaguna Klassen.

 

Turut hadir dalam menjayakan program tersebut ialah Encik Shamsul Bahri bin Manap (Pengurus Cawangan TBS Sri Aman), Ustaz Ridzuandi bin Padil (Penyelaras Unit Dakwah PAIB Sri Aman), Tuan Haji Bujang bin Shabli (Pengerusi HIKMAH Cawangan Sri Aman), Ustaz Sodikin bin Mohri (Daie HIKMAH Bahagian Sri Aman). Ustaz Ridzuandi bin Padil adalah selaku Pengerusi dalam penganjuran program tersebut.

 

Program juga diselit dengan ucapan dan taklimat ringkas daripada Encik Shamsul Bahri bin Manap di mana beliau menekankan kebaikan perlaksanaan Zakat Padi dan Waqaf di samping menjelaskan bentuk bantuan yang terdapat di TBS. Beliau juga akan menempatkan seorang Amil Zakat Fitrah bagi memudahkan masyarakat di kawasan tersebut menunaikan bayaran Zakat Fitrah.

 

Tuan Haji Bujang bin Shabli dalam ucapannya menyatakan kepentingan untuk mempelajari ilmu fardhu kifayah di kawasan penempatan penduduk mu’allaf dan beliau bersedia bekerjasama dengan pihak berwajib untuk menganjurkan kursus fardhu kifayah. Hal tersebut disokong oleh Ustaz Sodikin di mana beliau berhasrat mengukuhkan lagi aspek pembelajaran asas Islam di kawasan tersebut.

 

Antara daya tarikan dalam program tersebut adalah di mana para tetamu dan penganjur ziarah telah dihidangkan sejenis makanan tradisi masyarakat Iban iatu ‘Pansuh’ yang dimasak dalam buluh.

 

Baitulmal telah menghulurkan sumbangan asas makanan, keperluan asas sekolah dan ibadah kepada penduduk Muslim Stutong sebagai mengakhiri acara program.