Tanam-Tanaman

ZAKAT TANAMAN DAN PERTANIAN

Imam Malik dan Imam Syafie berpendapat bahawa hasil tanaman yang dikenakan zakat hendaklah daripada jenis yang mengenyang dan menguatkan di samping tahan lama apabila disimpan. Bagi kita di Malaysia ialah zakat atas tanaman padi. Kadar zakat padi ialah 1/10 jika menggunakan air hujan atau air sungai dan 1/20 jika diusahakan sendiri atau menggunakan alat penyiram. Zakatnya perlu dibayar sebaik sahaja selepas dituai.

ZAKAT PADI

ZAKAT PERTANIAN (PADI):
Zakat Pertanian (Padi) bermaksud mengeluarkan sebahagian daripada pendapatan bersih hasil pertanian yang diusahakan oleh orang Islam yang terdiri daripada jenis biji-bijian atau buah-buahan atau mana-mana hasil pertanian yang bermanfaat setelah memenuhi syarat-syarat yang dikenakan zakat.

DALIL KEWAJIPAN ZAKAT PERTANIAN:
1. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
”Wahai orang yang beriman! Nafkahkanlah (zakat) sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian daripada apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu memilih yang buruk-buruk, lalu kamu nafkah (zakat) daripadanya, padahal kamu sendiri tidak mahu menerimanya melainkan dengan memejamkan mata terhadapnya. Dan ketahuilah bahawa Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji.” [Al Baqarah:267]

2. Firman Allah s.w.t. dalam Al Quran; surah An’am, ayat 141 (maksudnya):
”Dan Dia-lah yang menjadikan kebun-kebun yang berjunjung dan tidak berjunjung, pohon kurma, tanam-tanaman yang bermacam-macam buahnya, zaitun dan buah delima yang serupa (bentuk dan warnanya) dan tidak sama(rasanya). Makanlah daripada buahnya (yang bermacam-macam itu) bila ia berbuah dan tunaikanlah haknya (zakat) pada hari memetik buahnya, dan janganlah kamu berlebih-lebihan (boros). Sesungguhnya Allah s.w.t tidak suka orang yang berlebih-lebihan”

3. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:”Hasil tanaman yang disiram dengan menggunakan air hujan dan mata air atau tanaman yang menyerap air dengan menggunakan akarnya dari perut bumi, zakatnya adalah sebanyak 1/10. Manakala tanaman yang disiram dengan menggunakan pengairan, zakatnya adalah sebanyak 1/20.”[HR.Ibnu Majah dan Tirmizi]

SYARAT-SYARAT WAJIB ZAKAT PADI
i. Islam – setiap orang yang diwajibkan zakat hendaklah beragama Islam.
ii. Milik sempurna
iii. Merdeka
iv. Cukup nisab iaitu 5 ausak atau menyamai 400 gantang Malaysia setelah dibersihkan.

BILA PEMBAYARAN DILAKUKAN:
Sesudah habis menuai satu-satu musim. Amil atau wakil pemungut zakat hendaklah menemui penanam padi yang wajib mengeluarkan zakat dan memeriksa/mempastikan hasil pendapatan padi mereka di tempat simpanannya.

KEPADA SIAPA PEMBAYARAN DIBUAT
Bayaran hendaklah dibuat kepada Kaunter Tabung Baitulmal Sarawak atau Agen yang dilantik oleh Majlis Islam Sarawak di kawasan yang telah ditentukan oleh Majlis Islam Sarawak.

BENTUK BAYARAN
i. Padi yang cukup nisabnya ialah 5 ausak bersamaan dengan 400 gantang (Nisab bagi Negeri Sarawak) hendaklah dibayar zakatnya. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:”Hasil bumi(pertanian) yang kurang daripada lima ausak, tidak diwajibkan zakat. Unta yang kurang daripada lima ekor, tidak diwajibkan zakat. Perak yang kurang daripada lima ’uqiah(satu ’uqiah sama dengan 40 dirham perak), tidak diwajibkan.” [Abu Said al-Khudri r.a]

ii. Padi yang sampai nisabnya diusahakan dengan menggunakan tenaga manusia atau lain-lain seperti binatang atau jentera atau perbelanjaan yang banyak maka Zakat Padinya ialah 5% atau 1/20.

iii. Padi yang ditanam sampai nisabnya yang hanya bergantung kepada jirusan air hujan atau hidup dengan aliran air sungai atau parit maka kadarnya zakatnya ialah 10% atau 1/10. Jika diusahakan dengan menggunakan kedua-dua kaedah(ii&iii) maka kadar zakatnya 7.5%

iv. Bayaran zakat boleh dengan padi atau dengan harga padi tersebut. Pada dasarnya petani diwajibkan membayar zakat pertanian dengan menggunakan hasil tuaian tanamannya, tetapi sebahagian ulama fiqah membolehkan pembayaran zakat dengan menggunakan nilai harganya iaitu secara menghitung kuantiti hasil tanaman yang wajib dikeluarkan zakat seterusnya mentaksirkan nilai harganya dengan harga pasaran kemudian membayarnya dalam bentuk wang tunai.

v. Padi zakat tidak boleh dijual kecuali dengan kelulusan Majlis Islam Sarawak dan mengikut harga yang ditetapkan sendiri oleh Majlis.

vi. Amil atau wakil pemungut zakat hendaklah mengeluarkan resit rasmi akuan terima bagi tiap-tiap zakat yang diterima.

KAEDAH PENGIRAAN:
Pengiraan zakat pertanian (padi) adalah tertakluk ke atas harga jualan padi, setelah ditolak kos yang dibenarkan. Jika nilai jualan padi pada musim pertama kurang dari nisab, maka hendaklah dicampurkan ke musim kedua di dalam tahun yang sama.

Nisab bagi Sarawak 400 Gantang.
400 gantang / 1,080 kilogram (1 gantang=2.70 kg)

Kadar zakat
[5%/7.5%/10% ] ke atas nilai bersih (selepas ditolak kos yang dibenarkan seperti kos baja/racun, sewa, upah kerja dan pengangkutan). Penentuan ukuran nisab adalah selepas tolakan kos (sekiranya harga padi selepas ditolak kos operasi kurang dari Nisab, maka zakat tidak diwajibkan).

Subsidi(jika ada)
Subsidi padi dikira sebagai harta perolehan (al-mal al-mustafad) oleh itu ia termasuk di dalam pengiraan zakat dengan kadar 2.5% (atas nilai keseluruhan harga subsidi padi).

Contoh Pengiraan
Seorang petani mendapat hasil jualan sebanyak RM..............(harga melebihi nisab) semusim, manakala subsidi sebanyak RM500.00 (anggaran sahaja)

Harga Jualan padi =RM (A)

Anggaran tolakan kos (contoh sahaja)
1. Kos baja/racun RM........
2. Sewa RM........
3. Upah tenaga kerja/tuaian(mesin) RM.........
4. Pengangkutan RM.......
Jumlah tolakan: RM(B)

Harga Jualan Padi (RM A) – Anggaran Tolakan(RM B) =RM(C)

Kadar zakat ke atas tanaman (padi)
RM (C) X .....% = RM (D)

Kadar zakat ke atas harga subsidi(jika ada)
RM 500.00 X 2.5% = RM 13.00

Jumlah Zakat Padi yang Wajib dibayar:
RM (D)+ RM 13.00 = RM ...
Peringatan: Jumlah bagi anggaran tolakan kos seperti yang tetera di atas tidak ditentukan, bergantung kepada kaedah yang digunapakai oleh petani.

Contoh Pengiraan bagi Penanaman Dua Musim

1. Musim Pertama 2006 :
Nilai jualan = RM (A) (kurang dari nisab)

2. Musim Kedua 2006
Nilai jualan = RM(B) (kurang dari nisab)

Maka, RM(A) + RM(B) = RM(C) ( jika mencukupi nisab)
Jumlah perlu bayar : RM RM (C) X .......% = RM (zakat)


Google Plus YouTube RSS

PENAFIAN: TBS tidak akan bertanggungjawab bagi sebarang kehilangan dan kerugian yang disebabkan oleh penggunaan maklumat yang diperoleh daripada laman ini. Paparan terbaik dengan resolusi skrin 1280x1024.