Mengenai Zakat

Zakat diambil daripada perkataan Arab yang bermaksud suci dan subur. Sementara dari segi syaraknya pula bererti suatu kadar harta tertentu yang diwajibkan oleh Allah S.W.T. kepada pemiliknya untuk dikeluarkan kepada golongan yang berhak.
Pada umumnya para fuqaha memberikan takrif zakat seperti berikut:

Penyerahan wajib sebahagian harta kekayaan kepada segolongan orang yang berhak menerimanya melalui amil yang bertauliah bagi mencari keredhaan Allah, penyucian diri dan harta kekayaan untuk membangunkan masyarakat berdasarkan syarat-syarat yang ditentukan oleh syarak.

Takrif di atas memberikan ciri-ciri asas kewajipan zakat, antaranya ialah:

Pelepasan milik harta bukan berdasarkan konsep hadiah, hibah (pemberian), anugerah, murah hati atau belas ihsan. Penyerahan itu adalah berdasarkan kewajipan (fardu).

Penyerahan sebahagian kekayaan telah ditentukan kadarnya daripada pendapatan bersih sebagaimana yang diputuskan oleh syarak dari satu masa ke satu masa yang tertentu.

Perbezaan syarat digunakan untuk menentukan jenis-jenis harta kekayaan dan cara memperolehi pendapatan tersebut.

Penentuan kadar minimum nisab yang berbeza-beza berdasarkan perbezaan jenis harta kekayaan dan cara pengusahaannya.

Sistem pengagihan yang terkawal dan berkesan kepada setiap asnaf yang berhak menerimanya.

Sistem zakat bertujuan membangunkan akidah, akhlak, ekonomi dan politik setiap individu dan masyarakat supaya mendapat keredaan Allah S.W.T.

Secara kesimpulan, zakat diwajibkan bertujuan untuk melindung, melatih dan menjamin pembangunan ummah. Dengan itu, sistem zakat menjadi satu mekanisma yang menggarapi keseluruhan sistem kehidupan sebuah masyarakat supaya dapat menikmati kehidupan yang cemerlang. Sebab itu, Allah S.W.T. mengingatkan umat Islam supaya bersegera menunaikan kewajipan berzakat sebelum saat kematian. Allah berfirman:

Dan belanjakan (zakat/sedekah) sebahagiannya daripada harta yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang daripada kamu sampai ajal maut. Kamu akan menyesal dan bermohon kepada Allah: 'Wahai Tuhanku, alangkah baiknya kalau dilambatkan kematianku ini walaupun seketika supaya aku dapat berzakat/bersedekah dan dapat pula aku menjadi orang yang salih'.


Google Plus YouTube RSS

PENAFIAN: TBS tidak akan bertanggungjawab bagi sebarang kehilangan dan kerugian yang disebabkan oleh penggunaan maklumat yang diperoleh daripada laman ini. Paparan terbaik dengan resolusi skrin 1280x1024.