Latar Belakang

 

 

Salah satu harapan besar umat Islam di Sarawak sebaik sahaja mencapai kemerdekaan melalui Malaysia pada tahun 1963 adalah untuk melihat peningkatan dan kebangkitan syariat Islam di tanah bekas jajahan Brooke ini. Justeru Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) telah ditubuhkan pada tahun 1966 melalui Undang-Undang Zakat 1966 atas usaha YAB Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud. Pada masa itu ia dikenali sebagai Tabung Zakat dan Fitrah.

Tabung ini telah berjaya membiayai ramai pelajar-pelajar melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi di Pusat-Pusat Pengajian Tinggi Islam di dalam dan di luar negeri, di samping membantu dalam perkara-perkara kebajikan dan keagamaan di kalangan umat Islam di Sarawak.  Sebelum Tabung Zakat dan Fitrah ditubuhkan, masyarakat Islam secara kelazimannya menunaikan kewajipan berzakat dengan menyerahkan secara terus kepada fakir miskin atau kepada guru-guru agama, bidan-bidan kampung dan sebagainya.

Sesuai dengan perkembangan negara dan keperluan umat Islam yang semakin bertambah untuk menghadapi zaman yang penuh cabaran,maka sebagai satu kesinambungan daripada tabung itu, tertubuhlah Tabung Baitulmal Sarawak pada tahun 1984 di bawah Ordinan Majlis Islam Sarawak (Pemerbadanan) (Pindaan) 1984.

Tabung Baitulmal Sarawak ditubuh pada tahun 1985 sebagai wakil Majlis Islam Sarawak yang bertanggungjawab dalam pengurusan Zakat, Sadaqatul Jariah dan Wakaf.  Dalam hal ini, TBS berperanan menyediakan prasarana mengutip, mengagih dan mengurus dana-dana tersebut di samping menyedarkan masyarakat Islam tentang kewajipan berzakat.

Rentetan itu, sebagai persiapan untuk menempuh ledakan perubahan dalam abad ke 21, Penyusunan Semula Pengurusan Tabung Baitulmal Sarawak telah diluluskan di mana pada 15 Disember 1998, Pengurus Besar telah dilantik untuk mengetuai Pengurusannya.  Sidang Dewan Undangan Negeri Sarawak pada bulan November 2001 turut meluluskan Ordinan Majlis Islam Sarawak 2001 yang mana secara langsung menambahkan lagi peranan Tabung Baitulmal Sarawak sebagai sebuah institusi zakat. Sejak penstrukturan semula itu, TBS telah mencapai kejayaan yang membanggakan dalam pelaksanaan dasar dan programnya.


Google Plus YouTube RSS

PENAFIAN: TBS tidak akan bertanggungjawab bagi sebarang kehilangan dan kerugian yang disebabkan oleh penggunaan maklumat yang diperoleh daripada laman ini. Paparan terbaik dengan resolusi skrin 1280x1024.