MAJLIS PENYERAHAN BANTUAN MASJID DAN SURAU MAJLIS ISLAM SARAWAK BAHAGIAN MIRI BAGI TAHUN 1435H/2014M

MAJLIS PENYERAHAN BANTUAN MASJID DAN SURAU MAJLIS ISLAM SARAWAK BAHAGIAN MIRI BAGI TAHUN 1435H/2014M

 

MIRI, 05 Julai – Majlis Islam Sarawak telah menganjurkan Majlis Penyerahan Bantuan Masjid dan Surau bahagian Miri bagi tahun 2014 Masihi bersamaan 1435 Hijriah bertempat di Masjid Darul Ehsan, Piasau Jaya, Miri hari ini.     

Majlis penyerahan tersebut telah disempurnakan oleh YB Datuk Ir. Haji Daud Bin Abdul Rahman, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama Islam) dan Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur Sarawak sekaligus merangkap Pengerusi Lembaga Baitulmal dan Wakaf.

Dalam majlis tersebut, sejumlah RM168,000.00 yang disumbangkan oleh Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) telah dihulurkan kepada 168 buah masjid dan surau bertujuan membiayai aktiviti-aktiviti yang dianjurkan di sepanjang bulan Ramadhan Al-Mubarak di samping memberi galakan kepada masyarakat Islam dalam usaha pengimarahan masjid dan surau.


Selain daripada bantuan –bantuan di atas, TBS turut mempunyai pelbagai jenis bantuan lain di bawah tiga (3) program utamanya iaitu Program Mengukuhkan Tradisi Keilmuan (PMTK), Program Memantapkan Kebajikan Ummah (PMKU) dan Program Membangunkan Institusi Islam (PMII). Bagi tahun 2013, melalui ketiga-tiga program utama ini, TBS telah mengagihkan sejumlah RM35.3 juta kepada penerima yang layak. Manakala, untuk tahun ini, sehingga 30 Jun 2014, TBS telah mengagihkan sejumlah RM18.3 juta melalui program yang sama.

Turut hadir dalam majlis tersebut Y.B. Puan Rosey Binti Haji Yunus, Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Pembangunan Keluarga Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri N.61 Bekenu, Y.B. Haji Ahmad Lai bin Bujang, Ahli Parlimen P.218 Sibuti, Y.B. Encik Ripin bin Lamat, Ahli Dewan Undangan Negeri N.62 Lambir, Y.Bhg. Datu Haji Putit bin Matzen, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Y.Bhg. Datu Haji Abang Mohd Shibli bin Haji Abang Mohd Nailie, Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak, Y.Bhg. Tuan Haji Ismail bin Mohd Hanis, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak.