MAJLIS PENYERAHAN AGIHAN BANTUAN TABUNG BAITULMAL SARAWAK

MAJLIS PENYERAHAN AGIHAN BANTUAN

TABUNG BAITULMAL SARAWAK

 

 

KUCHING, 11 Mac – Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) hari ini telah mengadakan Majlis Penyerahan Agihan Bantuan kepada 37 penerima yang merangkumi pelbagai organisasi dan juga individu melalui tiga program utamanya yakni Program Mengukuhkan Tradisi Keilmuan (PMTK), Program Memantapkan Kebajikan Ummah (PMKU) dan juga Program Membangunkan Institusi Islam (PMII).

Majlis yang disempurnakan oleh YB Datuk Ir. Haji Daud Abdul Rahman, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) dan Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur Sarawak sekaligus merangkap Pengerusi Lembaga Baitulmal dan Wakaf tersebut diadakan bertujuan meringankan lagi beban di samping memberi dorongan dan sokongan kepada para penerima.

Sejumlah RM54,708 diagihkan kepada 37 orang penerima yang layak yakni yang meliputi RM38,400 untuk 17 orang penerima Bantuan ke IPT, RM4,500 untuk penerima Bantuan Sekolah Agama Arab, sejumlah RM2,600 diagihkan kepada 6 orang penerima Bantuan Kemasukan Peringkat Sijil, sejumlah RM4,372 diagihkan bagi tujuan Bantuan Rawatan Perubatan dan Pembedahan Kepada Pesakit dan sejumlah RM4,836 disalurkan kepada 7 orang penerima Bantuan Sara Hidup Fakir Miskin.

Sepanjang tahun 2013, TBS telah mengagihkan sebanyak RM35.3 juta  melalui aktiviti-aktiviti di bawah tiga program utamanya. Manakala bagi tempoh 1 Januari sehingga 7 Mac 2014, TBS telah mengagihkan sejumlah RM4.71 juta melalui program yang sama.


Secara keseluruhannya, sebagai salah sebuah institusi Islam yang dinamik, Tabung Baitulmal Sarawak yang memegang amanah dalam hal ehwal pengurusaan zakat, giat berusaha sedaya-upaya dalam memastikan keperluan golongan yang memerlukan dipenuhi dengan sewajarnya mengikut hukum syarak di samping memastikan kewajiban berzakat difahami dan dijelaskan kepada masyarakat Islam khususnya di negeri Sarawak.

Majlis turut dihadiri oleh YBhg. Datu Haji Putit Matzen, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, YBhg. Datu Haji Abg Mohd Shibli Bin Haji Abg Mohd Nailie, Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak dan juga Ahli Lembaga Baitulmal dan Wakaf.