Majlis Penyerahan Bantuan Aidilfitri Fakir Miskin dan Sumbangan Masjid dan Surau Bahagian Bintulu

BINTULU, 21 Julai - Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) telah menganjurkan Majlis Penyerahan Bantuan Aidilfitri Fakir Miskin serta Sumbangan Masjid dan Surau Bahagian Bintulu bagi tahun 2013 bersamaan 1434 Hijriah bertempat di Masjid Assyakirin, Bintulu hari ini. Majlis penyerahan tersebut telah disempurnakan oleh YB Datuk Ir. Haji Daud Bin Abdul Rahman, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama Islam) dan Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur Sarawak sekaligus merangkap Pengerusi Lembaga Baitulmal dan Wakaf. Dalam majlis tersebut, sejumlah RM69,000.00 telah diserahkan melalui amil-amil yang ditauliahkan oleh TBS untuk diagihkan kepada 690 orang fakir miskin yang telah dikenalpasti bagi tujuan mencukupkan perbelanjaan pada hari pertama Hari Raya Aidilfitri khususnya dalam menyediakan keperluan asas makanan dan minuman agar mereka tidak terkecuali dalam menyambut lebaran yang bakal tiba. Selain itu, di dalam majlis yang sama, sejumlah RM97,000.00 telah dihulurkan kepada 97 buah masjid dan surau bertujuan membiayai aktiviti-aktiviti yang dianjurkan di sepanjang bulan Ramadhan Al-Mubarak di samping memberi galakan kepada masyarakat Islam dalam usaha pengimarahan masjid dan surau. Selain daripada bantuan –bantuan di atas, TBS turut mempunyai pelbagai jenis bantuan lain di bawah tiga (3) program utamanya iaitu Program Mengukuhkan Tradisi Keilmuan (PMTK), Program Memantapkan Kebajikan Ummah (PMKU) dan Program Membangunkan Institusi Islam (PMII). Majlis turut menyaksikan Penyerahan Gran Tahunan oleh TBS kepada Institut Tahfiz Bintulu yang berjumlah RM10,000.00. Turut hadir dalam majlis tersebut YB.Datuk Haji Talip Zulpilip.ADUN Jepak, YBhg. Datu Haji Abang Mohd Shibli Bin Haji Abang Mohd Nailie, Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak.