Majlis Penyerahan Agihan Bantuan kepada mangsa kebakaran di Kpg. Datu/Hilir, Sibu

 

KUCHING, 09 JULAI – Tabung Baitulmal Sarawak (TBS), sebuah agensi Majlis Islam Sarawak (MIS) yang prihatin terhadap kemaslahatan ummah telah mengambil pelbagai langkah bagi membantu umat Islam yang ditimpa musibah sebagaimana yang dialami oleh penduduk Kpg. Datu/Hilir, Sibu baru-baru ini. Oleh yang demikian,  pada  hari ini, sekali lagi TBS  menunaikan tanggungjawab dan amanahnya kepada umat Islam dengan mengadakan Majlis Penyerahan Agihan Bantuan kepada mangsa kebakaran di Kpg. Datu/Hilir, Sibu.

Majlis yang disempurnakan oleh YB Datuk Ir. Haji Daud Abdul Rahman, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama Islam Sarawak) dan Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur Sarawak sekaligus merangkap Pengerusi Lembaga Baitulmal dan Wakaf telah diadakan di Masjid An-Nur, Sibu. Sumbangan kewangan sebanyak RM288,000.00 (Ringgit Malaysia: Dua Ratus Lapan Puluh Lapan Ribu) telah dihulurkan kepada 144 buah keluarga mangsa bencana tersebut yang bertujuan meringankan lagi bebanan mereka di samping sebagai persiapan untuk menyambut ketibaan Ramadhan dan Aidil Fitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Seawal kejadian kebakaran berlaku yang melibatkan  Kpg. Datu, Sibu pada 19 Jun 2013, warga TBS Zon Tengah (Sibu, Sarikei dan Mukah) telah berusaha membantu dan mengenal pasti keperluan mangsa kebakaran bagi memudahkan urusan pengagihan sumbangan kepada mereka yang berkenaan.

Pada 20 Jun 2013, di atas dasar keprihatinan dan tanggungjawab, YBhg. Datu Haji Abang Mohd Shibli Bin Haji Abg Mohd Nailie, Pengurus Besar TBS merupakan salah seorang dalam kalangan rombongan pertama ke Sibu untuk mendapatkan  gambaran awal tentang keperluan mangsa. Semasa kunjungan tersebut dijalankan, beliau telah menyempurnakan penyerahan Bantuan Kecemasan TBS termasuklah dengan menghulurkan 100 kotak pelbagai makanan asas dan 100 kotak air mineral bagi menampung keperluan harian mangsa.

Manakala pada 22 Jun 2013, TBS telah membuat gerakan bantuan peringkat kedua dengan membawa sumbangan yang lain seperti pakaian, telekung, sejadah dan naskhah Al-Quran yang telah diserahkan secara peribadi kepada sebahagian mangsa yang ditempatkan di Lembaga Amanah Kebajikan Islam Sibu (LAKIS), tempat kediaman sementara mangsa kebakaran. 

Pada hari yang sama, upacara simbolik penyerahan sumbangan TBS dan 131 buah kotak pakaian daripada warga Kuching dan Samarahan telah disampaikan oleh wakil TBS kepada Penghulu Kpg. Datu yang mewakili mangsa kebakaran yang disaksikan oleh YB. Dr. Annuar Rapaee, ADUN Nangka.

Selain itu, TBS juga telah menubuhkan Pusat Operasi Gerakan Bantuan yang telah mengkordinasi pelbagai bentuk sumbangan orang ramai seperti pakaian, makanan dan juga kewangan. Penyerahan sumbangan pakaian daripada masyarakat yang prihatin ini amatlah berjaya di Kuching, di mana pihak TBS telah menghantar dua buah lori penuh muatan pakaian ke Sibu bagi tujuan tersebut.

Dan terkini, peluang untuk masyarakat yang masih hendak menyumbangkan bantuan kewangan, bolehlah berbuat demikian di seluruh Pejabat Cawangan TBS dan juga Tabung Derma yang terdapat di Kompleks Islam Sarawak (KIS), Kuching.

Majlis turut dihadiri  oleh YBhg. Datu Putit Matzen, Yang DiPertua Majlis Islam Sarawak, YBhg. Datu Haji Abang Mohd. Shibli Haji Abang Mohd. Nailie, Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak, YB.En.Abu Seman Hj.Jahwie,ADUN Jemoreng merangkap Ahli Lembaga Baitulmal dan Wakaf, YB. Dr. Annuar Rapaee, ADUN Nangka dan Ketua-ketua Masyarakat.