Kenyataaan Akhbar Kadar Zakat Fitrah Negeri Sarawak 2013

KUCHING, 09 JULAI – Majlis Islam Sarawak(MIS) telah menetapkan kadar Zakat Fitrah bagi umat Islam di Negeri Sarawak pada tahun 2013M/1434H ialah pada nilai RM6.50 (Ringgit Malaysia:Enam Ringgit dan Lima Puluh Sen Sahaja) bagi seorang. Kadar Zakat Fitrah tersebut ditentukan berdasarkan kepada purata nilai jenis beras yang dimakan oleh kebanyakan masyarakat Islam di Negeri Sarawak untuk satu gantang Baghdad yang bersamaan dengan 2.7kilogram.

Sehubungan itu, masyarakat Islam diingatkan agar  membayar Zakat Fitrah  mereka dan yang berada dalam tanggungan masing-masing kepada Amil Zakat Fitrah yang telah ditauliahkan oleh Majlis Islam Sarawak atau di kaunter-kaunter Tabung Baitulmal Sarawak(TBS) yang berdekatan. Bagi Tahun 2011-2013, Tabung Baitulmal Sarawak (Majlis Islam Sarawak) telah mentaulihkan seramai 816 Amil Zakat Fitrah bagi memudahkan masyarakat Islam menunaikan kewajipan tersebut di kawasan masing-masing selain  kaunter-kaunter bergerak yang beroperasi di pusat-pusat membeli belah dan juga di premis-premis yang menjadi tumpuan orang ramai.

Manakala  bagi umat Islam yang hendak menunaikan Zakat Harta/Zakat Mal: Zakat Wang Simpanan, Saham, Pendapatan, KWSP, Emas/Perak, Perniagaan, Ternakan, dan Tanaman yang telah memenuhi syarat-syarat  Wajib Zakat Harta(Zakat Mal), iaitu: Islam, Milik Sempurna, Cukup Nisab, dan Cukup Haul(genap setahun) bolehlah menyempurnakan kefardhuan tersebut di semua kaunter TBS di seluruh Sarawak.

Selain itu, umat Islam juga boleh membayar Zakat Harta mereka melalui agen-agen kutipan Zakat TBS yang telah dilantik seperti RHB Bank, Bank Simpanan Nasional, Public Bank, Agro Bank, Ambank, Bank Islam Malaysia Bhd. Bank Kerjasama Rakyat, Bank Muamalat, Maybank, HSBC Bank dan Pos Malaysia di seluruh Sarawak.